Secara logiknya, tiada negara dalam dunia ini yang akan memilih seorang warga emas berusia 93 tahun sebagai ketua kerajaan.

Sambil meragui ketahanan fizikal calon Perdana Menteri sementara Pakatan Harapan yang diketuai DAP, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, tekanan fizikal seorang Perdana Menteri adalah sangat besar kerana memerlukannya ‘menjelajah’ ke seluruh dunia dan menghadiri empat hingga lima majlis pada setiap hari.

“Saya tahu, tekanan fizikal itu bukan semudah kita lihat, saya sudah menjadi Ahli Parlimen untuk tempoh 10 tahun dan menteri lima tahun.

“Kita bukan nak mempersendakan usia beliau, tetapi kita mahu seorang pemimpin yang sihat dan ‘fit’,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Youth Millenium atau Program Belia Alaf Parlimen Setiawangsa di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Kira-kira 100 pelajar sekolah menengah berusia 16 dan 17 tahun dari sekitar Parlimen Setiawangsa menyertai program tersebut.

Antara pengisian program adalah perkongsian pengalaman kepada para peserta yang terdiri daripada belia bersekolah melalui pengkisahan tersendiri dalam kehidupan penceramah jemputan. -UTUSAN ONLINE