Pensyarah Pusat Pengajian Antarabangsa, Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Mohd. Azizuddin Mohd. Sani berkata, DAP dilihat sengaja melengah-lengahkan CEC biarpun tanpa sebarang alasan kukuh itu.

Katanya, ROS tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan arahan kepada sesebuah parti untuk mengadakan semula pemilihan CEC melainkan jika wujud sebarang persoalan atau curiga terhadap ketelusan dalam penentuan kepimpinan parti.

“Kalau ROS minta, mereka kena buat melainkan jika DAP mempunyai alasan yang lebih kukuh untuk menyanggah arahan yang dikeluarkan badan berkenaan. Badan pendaftaran itu hanya akan keluarkan arahan begini jika rasa curiga terhadap sesebuah parti.

“Perkara ini pastinya akan mengambil masa yang lama kerana prosesnya akan melalui banyak peringkat. Mungkin sehingga lepas PRU-14 nanti,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ketua Pengarah ROS, Datuk Mohammad Razin Abdullah Jumaat lalu meminta DAP mengadakan pemilihan CEC yang baharu secara telus bagi membolehkan perwakilan memilih 20 anggota CEC yang sah dan diiktiraf.

Ini kerana hanya anggota CEC yang sah dan diiktiraf sahaja boleh melantik pemegang jawatan utama parti mengikut Akta Pertubuhan 1966 dan Perlembagaan Parti DAP.

Bagaimanapun, DAP semalam bertegas untuk tidak akan mengadakan pemilihan semula CEC yang baharu atas alasan parti telah berbuat demikian pada 29 September 2013.

Setiausaha Agungnya yang belum disahkan jawatan, Lim Guan Eng berkata, DAP akan mengadakan pertemuan dengan ROS hanya selepas menerima surat rasmi daripada jabatan itu bagi mendapatkan penjelasan berhubung arahan mengenai pemilihan semula CEC itu. - UTUSAN ONLINE