Setiausaha Agung DAP itu memutarbelitkan lirik lagu ABC yang bertujuan membantu kanak-kanak mengenal huruf dengan menjadikannya sebagai lagu propaganda membenci Kerajaan Persekutuan.

Taktik itu cukup mudah dan murah apabila secara tiba-tiba sahaja mengaitkan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai segala punca kesengsaraan rakyat.

‘Bagusnya’ mengenai perbuatan Guan Eng itu adalah sekurang-kurangnya semua orang dapat membuka mata bahawa proses indoktrinasi DAP sebenarnya bermula daripada peringkat kanak-kanak.

Bayangkan, betapa bersungguhnya DAP hendak mengekalkan kuasa di Pulau Pinang apabila sanggup memesongkan segala fakta dan memupuk kebencian dalam kalangan kanak-kanak.

Guan Eng bagaimanapun bukan yang pertama, proses indoktrinasi terhadap kanak-kanak merupakan amalan yang digunakan di negara-negara yang mengamalkan fahaman tertentu.

Rakyat sesebuah negara itu selamanya terperangkap dalam cengkaman kerana disogokkan dengan pemalsuan sejarah, pengagungan pemimpin dan propaganda kebencian.

Dinasti Lim di Malaysia yang terdiri daripada Guan Eng dan bapanya, Lim Kit Siang pula nampaknya sanggup mengotorkan ‘kesucian’ kanak-kanak untuk mengejar matlamat politik dan kuasa.

Memang sudah agak parah di negara ini apabila DAP mahu memaksakan anak-anak yang belum habis belajar mengeja pun untuk membenci Kerajaan Persekutuan.

Kepada ahli-ahli politik, ingat, ini negara demokrasi, kanak-kanak tidak digunakan untuk menyemai politik kebencian. - UTUSAN ONLINE