Berasaskan gabungan itu, agensi perundingan, Ilham Centre menjangkakan Barisan Nasional (BN) mampu memenangi pilihanraya kali ini dengan dukungan majoriti daripada pengundi Melayu dan Orang Asli di samping kadar keluar mengundi yang rendah dalam kalangan pengundi Cina dan India.

Pengarah Eksekutifnya, Azlan Zainal berkata, walaupun BN yang bertanding, namun Pas telah menggerakkan jentera kempen secara agresif.

Kata Azlan, hal ini dapat dilihat apabila Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri telah turut sama berkempen untuk menarik sokongan pengundi Pas kepada BN.

“Orang Pas tempatan yang ditemui begitu gembira pemimpin mereka turun sendiri di tempat mereka dan berpeluang bertemu mata. Kami melihat undi Pas akan berpecah kepada tiga arah. Golongan pertama akan mengundi BN, kedua akan memilih calon bebas manakala ketiga akan protes tidak keluar mengundi.

“Namun, apa yang mengejutkan golongan yang pertama yang boleh disimpulkan sebilangan besar pengundi Pas yang kami temui tidak berasa kekok untuk keluar mengundi BN,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Tinjauan akhir Ilham Centre yang dilakukan secara tatap muka bermula 22 Januari lalu sehingga semalam.

Pusat penyelidikan itu telah menemui 402 responden di kawasan Parlimen Cameron Highlands meliputi semua segmentasi kaum, jantina dan umur pengundi serta lokaliti.

Tambah Azlan, menuju ke saat-saat akhir berkempen, hanya calon BN dan Pakatan Harapan (PH) sahaja mendominasi, jauh meninggalkan calon-calon bebas yang lain.

Menurutnya, ini jelas apabila bahan-bahan kempen calon bebas sukar ditemui sepanjang jalan dari Tanah Rata menuju ke Jelai. - UTUSAN ONLINE