Ikrar Sungai Koyan tersebut dilihat bukan sahaja menjadi penyatuan dalam menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands, malah berterusan termasuklah usaha merampas kembali kerajaan Persekutuan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 akan datang.

Kehadiran ribuan umat Islam di dataran itu yang sanggup duduk di atas jalan berturap berbanding hanya ratusan yang duduk di kerusi disediakan dalam ceramah Pakatan Harapan (PH) oleh Nik Omar Nik Aziz seolah-olah memberi isyarat kepada sokongan masyarakat Melayu dalam tempoh sembilan hari berkempen.

Abdul Hadi berkata, keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) menjadi pukulan yang dahsyat kepada umat Islam yang tidak lagi berkuasa sehingga menyaksikan pelbagai tindakan meresahkan umat Islam termasuklah dalam soal agama.

Justeru katanya, tiada lagi pilihan kepada umat Islam me­lainkan mereka perlu bangkit dab wajib bersatu bagi membela agama dan bangsa termasuklah dalam berhadapan pilihan raya.

“Kita boleh bertengkar dalam masalah pendekatan bagaimana memerintah negara, mengurus negara tetapi demi keselamatan umat dan negara kita wajib bersatu.

“Jadi, lupakan pertelingkahan dan perbalahan dan beri kepercayaan kepada wakil Islam kerana Islam mengajar ada aspek kerohanian dosa dan pahala menjadi pemimpin, masalah dosa dan pahala ini tidak ada dalam DAP, tidak ada dalam parti-parti yang bukan Islam,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden UMNO yang memang­ku tugas Presiden, Datuk Seri Mohamad Hassan, berkata, apa yang berlaku hari ini amat malang sekali kerana disebabkan perpecahan politik menyebabkan Melayu hancur atas tanah air sendiri.

“Mari kita buka lembaran dan cerita baharu, kita pandang ke depan. Umpama bawa kereta cermin pandang belakang kecil tetapi cermin depan besar jadi jangan pandang cermin yang kecil.

“Jangan fikir yang sudah-sudah, yang lepas itu lepaslah tetapi penting kita mesti sedar dan insaf bahawa kita sudah berdagang di tanah air sendiri, kita menjadi melukut di tepi gantang di tanah air sendiri,” katanya.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, harapan untuk kesatuan Pas dan UMNO yang diimpikannya selama ini telah berhasil dan tidak berakhir dalam PRK Cameron Highlands sahaja.