Ketua UMNO Bahagian Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman berkata, tanpa dua ramuan itu seseorang ahli UMNO akan terdorong melakukan pengkhianatan, seterusnya berpihak kepada pembangkang.

Menurutnya, tindakan segelintir pemimpin atau ahli yang mengkhianati parti adalah di­sebabkan oleh hawa nafsu dan agenda peribadi.

“Ada segelintir ahli jawatan­kuasa bahagian pernah minta saya sokong beliau untuk sesuatu jawatan dan kini beliau mengkhianati kita (UMNO) serta mengikut pembangkang.

“Jika mahu jadi calon perlu ambil kira banyak faktor. Kita mahu calon yang berwawasan, disenangi dan boleh membela nasib rakyat,” katanya selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Puteri UMNO Bahagian Kimanis di sini hari ini.

Terdahulu, Anifah turut me­rasmikan Persidangan Perwakilan Wanita UMNO bahagian itu di Sekolah Menengah Kebangsaan Membakut I di sini.

Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri Luar menasihatkan semua sayap UMNO bahagian tersebut supaya berkempen secara berhemah dalam memenangkan calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.

Kata beliau, ahli UMNO juga perlu mengelakkan diri daripada memburukkan calon lain, termasuk menyerang keperibadian pembangkang.

“Oleh itu, kita perlu kerja keras. Kalau kita tidak bekerja dan tidak setia kita akan menjadi sasaran pembangkang.

“Malah, kalau kita bekerja separuh hati, kita semua akan kalah,” katanya.