Demikian ingatan yang dilontarkan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang menyifatkan parti itu telah melalui pelbagai rintangan serta tohmahan, namun tetap kekal mentadbir negara bersama para pemimpin mengikut zaman masing-masing.

Katanya, generasi pada masa kini mampu mengecapi setiap kenikmatan dan kesenangan hasil daripada pejuang-pejuang zaman dahulu yang ikhlas supaya negara memperoleh kemerdekaan.

“Maka, pada hari ini tugas kita (UMNO) bukan lagi memberi kemerdekaan kepada negara kerana ia telah pun dilakukan oleh nenek moyang kita dahulu. Sebaliknya, tugas kita ialah bagaimana untuk memastikan kuasa Melayu yang ditinggalkan tetap kekal selama­nya demi generasi akan datang tanpa kita mengenepikan bangsa lain.

“Generasi akan datang nanti mungkin tidak membaca sejarah nenek moyang, tetapi mereka akan merasai apa yang telah kita tinggalkan untuk mereka. Justeru, adalah tanggungjawab kita untuk mengekalkan kuasa itu dengan perpaduan sebagai kunci utama,” katanya berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Selangor di sini hari ini.

Yang turut hadir Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim dan Ketua UMNO Bahagian Kuala Selangor, Datuk Ishak Harun.

Mengulas mengenai pentadbiran di Selangor, Johari berkata, Kerajaan PKR Selangor tidak perlu berasa bangga kononnya mereka yang membuat pembangunan di negeri ini.

Jelasnya, mereka harus sedar, sebelum pembangkang mengambil alih, siapa yang membawa pembangunan di Selangor kalau bukan kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN).

“Tidak malukah mereka me­ngatakan pembangkang membawa pembangunan di Selangor, sedangkan yang membangunkan asas negeri ini ialah kerajaan BN termasuklah membina infrastruktur lapangan terbang, jalan raya serta prasarana-prasarana lain.

“Bagaimanapun, kita akan berhadapan dengan mereka dan menawan semula Selangor pada pilihan raya umum akan datang. Kita nanti bukan sahaja berhadapan dengan pembangkang, tetapi bekas pemimpin UMNO sendiri,” ujarnya.