Asyraf Wajdi Dusuki

Keikhlasan PH mempertahankan tanah tersebut menjadi tanda tanya kerana pengumuman itu dilakukan ketika musim pilihan raya, sedangkan mereka sudah menjadi kerajaan kira-kira lapan bulan lalu.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, PH dilihat cuba ‘membodek’ masyarakat Orang Asli kerana 23 peratus daripada mereka adalah pe­ngundi bagi PRK Parlimen Cameron Highlands.

“Sudah lapan bulan PH menjadi kerajaan tetapi kenapa sekarang baru keluar kenyataan ingin membantu sehingga mahu menyaman kerajaan negeri? Pastinya bersebab dan ada agendanya.

“Nampak sangat PH terlalu desperado untuk menang dan sanggup melakukan apa sahaja kerana takut dengan kekuatan Barisan Nasional (BN),” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Peguam Negara, Tommy Thomas memberitahu Jabatan Peguam Negara telah memfailkan tindakan sivil di Mahkamah Tinggi Kota Bharu bagi pihak Kerajaan Persekutuan antara lain untuk mendapatkan pengiktirafan hak tanah adat Orang Asli di Pos Simpor, Gua Musang.

Tindakan itu di ambil berikutan kerajaan negeri dan beberapa agensinya baru-baru ini mengeluarkan lesen pembalakan kepada syarikat swasta dan mereka menebang hutan serta membawa keluar kayu balak.

Dalam pada itu, Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Muhammad Khalil Abdul Hadi turut mempersoalkan tindakan Tommy yang dilihat cuba mempolitikkan isu tersebut.

“Sebagai Peguam Negara ba­nyak lagi perkara perlu diberi perhatian antaranya siasatan kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim tetapi kenapa Tommy lebih berminat terhadap isu tanah adat.

“Apabila isu itu diberi perhatian ketika musim pilihan raya kita sedar PH takut dengan gabungan pembangkang di antara Pas dan BN, malah calon pembangkang lebih diterima kerana latar belakangnya lebih baik,” katanya.