Presidennya, Datuk Seri Liow Tiong Lai menegaskan bahawa BN dibentuk melalui gabungan parti yang mencerminkan kesederhanaan pelbagai kaum secara inklusif.

Kata beliau, namun sekiranya konsep itu dikhianati UMNO, maka dengan sendirinya BN terbubar dan tidak akan wujud lagi.

“Saya tidak tahu apakah agenda UMNO dan Pas, kerana UMNO tidak pernah memaklumkan perkara itu (hubungan kerjasama) kepada MCA.

“Perlu diingat, jika melibatkan kerjasama agenda bangsa dan agama yang ektremis, ini menentang semangat BN,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Tahunan MCA negeri di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas kerjasama UMNO dan Pas selepas beberapa pemimpin tertinggi kedua-dua parti tersebut mula mengadakan pertemuan dan perbincangan demi penyatuan orang Melayu serta agama Islam.

Tiong Lai seterusnya menambah, selagi MCA berada di dalam BN, parti itu akan terus mempertahankan perlembagaan BN yang menekankan konsep kesederhanaan kepelbagaian kaum.

Katanya, pendirian beliau itu telah dijelaskan kepada semua ahli parti di seluruh negara.

Dalam pada itu, beliau menyarankan supaya ahli-ahli parti memberi sokongan kepada timbalannya, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong sebagai Presiden MCA yang baharu dalam pemilihan parti tersebut tidak lama lagi.

“Saya berharap pemimpin-pemimpin muda dapat melakukan transformasi parti agar mampu menarik kembali sokongan masyarakat Cina pada masa depan.

“Kami yakin orang Cina masih memberi sokongan kepada MCA setelah DAP dan Pakatan Harapan terbukti hanya menabur janji-janji kosong dalam manifesto mereka,” katanya.

Beliau turut meminta parti tersebut membuat pendaftaran semula ahli-ahlinya di seluruh negara bagi mendapatkan bilangan yang sebenar.

“Kita tahu bahawa ahli-ahli MCA berjumlah satu juta orang tetapi dalam pilihan raya umum lalu, sokongan diterima tidak menggambarkan kekuatan sebenar,” katanya. - UTUSAN ONLINE