IDRIS JUSOH
IDRIS JUSOH

Menurut  Idris yang juga bekas Menteri Pendidikan Tinggi itu, beliau  sudah memikul tanggungjawab berkenaan selama lapan tahun bermula tahun 2000 hingga 2008, dan dalam siatuasi kini adalah wajar kalangan lebih muda mengambil alih.

“Saya bersedia membantu UMNO negeri ini tetapi sekadar menjadi penasihat (dalam memulihkan moral ahli dan imej parti) ,” katanya selepas menghadiri mesyuarat agung cawangan UMNO Seberang Jertih, malam tadi.

Dalam mesyuarat itu Idris dipilih semula selaku ketua cawangan dan menolak desas-desus beliau tidak mahu menjadi pemimpin.

Terdapat juga desas-desus sebelum ini bahawa beliau diminta memegang jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri  sejak seminggu apabila bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman menemuinya.

Beliau yakin UMNO masih diterima rakyat dan akan kembali bangkit selepas dipulihkan menerusi persidangan cawangan, mesyuarat agung bahagian dan perhimpunan agung.

“Apa yang saya perhatikan sekarang persidangan cawangan berjalan lancar, malah ahli bersemangat menghadiri persidangan walaupun masih terkejut dengan kekalahan,” katanya.

Idris berkata, kini masa paling sesuai untuk mengenal pasti siapa ahli UMNO yang setia dan menjadi musuh dalam selimut selepas Barisan Nasional (BN) kalah teruk pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Katanya, UMNO perlu melakukan pembersihan  bagi memastikan perjuangan  alaf baharu dapat diteruskan dengan semangat lebih tinggi dan dokongan mereka yang benar-benar mengutamakan parti.-UTUSAN ONLINE