Ibrahim berkata, beliau mahu kekal bertanding di Pasir Mas kerana mendapat sokongan padu daripada penduduk setempat yang mahu beliau menjadi wakil rakyat di kawasan tersebut.

Katanya, selain dua kerusi tersebut, terdapat dua lagi ‘calon rakyat’ yang bakal bertanding di dua DUN seperti di N.12 Pengkalan Pasir dan N.13 Meranti, namun beliau enggan mendedahkan nama dua calon berkenaan.

“Dua sebab saya masuk bertanding, satu kerana hendak meneruskan perjuangan yang digalas sejak dahulu dan pada masa sama melihat sokongan rakyat semakin meningkat. Selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), rakyat sudah boleh membezakan antara saya dengan wakil rakyat di sini.

“Kedua saya nekad terus bertanding untuk agama bangsa dan negara. Saya berpendapat lebih efektif jika saya berada di dalam Parlimen kerana dapat membawa suara rakyat ke parlimen secara bebas tidak terikat dengan parti,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar khas di ibu pejabat Perkasa di sini hari ini.

Pada PRU-13 lalu menyaksikan Ibrahim tewas di Parlimen Pasir Mas kepada Nik Abduh Nik Abdul Aziz dengan majoriti 8,047 undi apabila meraih 25,384 undi sementara calon Pas itu mendapat 33,431 undi.

Perkasa telah melancarkan jentera di dua Parlimen iaitu Pasir Mas dan Rantau Panjang sebagai persiapan akhir menjelang PRU-14 pada 9 Mei ini.

Jentera tersebut merangkumi tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) di Parlimen Pasir Mas seperti Pengkalan Pasir, Tendong dan Meranti sementara tiga DUN di Parlimen Rantau Panjang pula adalah Chetok, Bukit Tuku dan Gual Periok.

Barisan Nasional (BN) meletakkan calon, Nor Azmawi Ab. Rahman di kerusi P.022 Parlimen Pasir Mas sementara di N.11 DUN Tendong pula menyaksikan Datuk Yahaya Mamat bakal bertanding menentang Ibrahim di kawasan tersebut.

Mengulas lanjut, Ibrahim berkata, Perkasa akan mengadakan satu mesyuarat tergempar malam ini bagi menentukan masa depannya bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tersebut susulan penyertaan beliau dalam PRU-14

“Saya akan menghormati apa sahaja keputusan yang ditentukan. Perkasa perlu meneruskan perjuangan mereka atas nama negara, agama dan bangsa, semoga Perkasa terus subur.

“Saya masuk bertanding pada PRU-14 ini pun ada kena mengena dengan Perkasa. Jika menang, saya boleh membawa suara Perkasa ke Dewan Rakyat kerana sebelum ini pandangan kita tidak sampai ke sana,” tegasnya. - UTUSAN ONLINE