Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, sifat itu amat bertentangan dengan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob yang menjalankan tugas dengan baik tanpa perlu membuat bising.

Namun beliau hairan dengan sikap segelintar ahli Pas yang masih terpengaruh dengan dakwaan yang dibawa pihak tertentu bahawa Ahmad tidak pandai mentadbir dan lemah meskipun menunjukkan prestasi yang baik seperti peningkatan Kadar Dalam Negeri Kasar (KDNK) Kelantan yang mencecah 4.8 peratus pada 2016.

"Sekarang orang kempen kita kena pertahan 'kerajaan Tok Guru' kerana kononnya kerajaan negeri hari ini bukan seperti kerajaan dahulu.

"Kita sepatutnya sedar kebijaksanan arwah yang telah memilih Menteri Besar sekarang yang seumpama ayam betina, biarpun tidak berkokok serata kampung tetapi bertelur setiap hari.

"Berlainan dengan ayam jantan yang berkokok merata-rata tetapi tahi bergelumang di belakang, buat projek depu dan kambing pun gagal," katanya semasa berucap di Majlis Pelantikan Penghulu 2018 di sini semalam.

Dalam perkembangan lain, Mohd. Amar yang juga Naib Presiden Pas memberitahu, kes saman berhubung fitnah terhadap Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam isu disogok dana RM90 juta bakal dibicarakan pada bulan ini.

Katanya, pimpinan Pas termasuk dirinya yang dinamakan dalam afidavit oleh Editor Sarawak Report, Claire Rewcastle-Brown tidak bangkit membela diri atau membuat penjelasan kepada umum atas nasihat peguam di London supaya tidak menjejaskan perjalanan kes.

"Peliknya orang kita ini yakin Pas sudahpun bersalah terima dedak dan mahu bergabung dengan UMNO, padahal dalam kes Datuk Seri Anwar Ibrahim, mereka tidak percaya pula walaupun sudah dua kali disabitkan di mahkamah dan sekarang masih dalam penjara," katanya. - UTUSAN ONLINE