Idris Ahmad
Idris Ahmad

Naib Presiden Pas, Idris Ahmad memberitahu, DAP sememangnya lebih rela Pas kalah di Kelantan kerana mendakwa parti itu cukup anti dengan program Islam yang dilaksanakan di negeri berkenaan.

“Alhamdulillah, 17 tahun pe­rintah Kelantan, Menteri Besar Kelantan tidak dituduh beli rumah banglo harga di bawah pasaran.

“Tidak ada Exco Kelantan yang dituduh oleh Suruhanjaya Pencegahan Ra­suah Malaysia (SPRM) kerana tidak bertindak kepada kilang haram yang mencemarkan.

“DAP jangan cuba kalih isu masalah dalaman parti mereka. Beberapa Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) letak jawatan, dipecat, ADUN PKR yang kritis dengan alam sekitar telah di­pinggirkan, baru perintah satu negeri sudah tunjuk taring,” katanya menerusi kenyataan yang dipetik daripada Harakah Daily hari ini.

Semalam, Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang mendakwa Pas berdepan dengan risiko kehilangan Kelantan dalam pilihan raya umum akan datang kerana tidak kembali menyertai pakatan pembangkang.

Mengulas lanjut, Idris sedar DAP mempunyai tentera maya yang akan menyerang balik Pas menggunakan ayat Rahmatan Lil Alamin.

“Alasan mereka, kita mana boleh kata kepada DAP, nanti hilang Islam sebagai rahmat. Pemim­pin DAP tidak boleh di­sentuh, seolah-olah mereka seperti suci dalam debu,” jelas beliau sinis.