Mohd. Amar Nik Abdullah

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, tindakan Ahli Parlimen Pandan itu hanya akan menyebabkan hubungan kedua-dua parti menjadi semakin parah dan tidak mustahil bakal berakhir.

Menurutnya, tuduhan demi tuduhan yang dilakukan Rafizi termasuk mendakwa kepimpinan parti itu menerima dana daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah tidak berasas sama sekali.

“Bagi kita tuduhan Rafizi itu tidak perlu diberikan per­hatian serius memandangkan rekod beliau selama ini membabitkan pelbagai pendeda­han semuanya ti­dak betul termasuk membabitkan isu cincin isteri Perdana Menteri,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Rafizi sebelum ini mendakwa mempunyai bukti dan maklumat mengenai terdapat individu yang rapat dengan Pas menerima dana daripada 1MDB.

Mengulas lanjut, Mohd. Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata, Rafizi sepatutnya memberi tumpuan mengenai pendedahan penulis blog Raja Petra Kamarudin sebelum ini bahawa PKR menerima dana daripada individu tertentu.

Katanya, PKR se­patutnya me­ngambil tindakan saman terhadap Raja Petra sekira­nya pendedahan itu tidak benar dan bukan cuba mengalih perhatian de­ngan menyerang Pas.

“Selama ini PKR menekan Pas dalam isu dana RM90 juta, minta kita saman Sarawak Report dan sebagainya. Bagi saya pendedahan Raja Petra itu lebih serius, mengapa PKR tidak saman.

“Bagi saya sekiranya PKR ha­nya menafikan perkara tersebut, apa yang didedahkan Raja Petra itu adalah benar,” katanya.