Mengikut Fasal 3.2 Perjanjian Pakatan Harapan ini pula, ‘setiap anggota dari setiap parti berhak membuat aduan terhadap anggota dari parti lain di dalam Pakatan Harapan sekiranya perbuatan anggota parti lain itu melanggar peruntukan-peruntukan Fasal 2.2 dan Fasa 2.3 sehingga mengakibatkan kerugian, memalukan atau mencemar nama baik anggota atau parti yang membuat aduan itu.’

Semalam, beberapa perbuatan yang mengakibatkan kerugian, memalukan dan mencemar nama baik anggota PAN dan PKR sebagai pemimpin parti politik serta nama baik sebagai parti politik telah dilakukan oleh pemimpin kedua-dua parti berkenaan.

Ia bermula dari tindakan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menggelarkan PAN sebagai pembohong dan tidak amanah yang diikuti oleh tindakan Pengerusi PAN Selangor, Izham Ramli, menggelarkan pula Pengerusi PKR Selangor itu sebagai badut yang tidak layak menjadi Menteri Besar dan Pengerusi Pakatan Harapan negeri.

Terbaharu adalah tindakan Pegawai Khas Mohamed Azmini, Muhammad Hilman Idham, yang menggelarkan PAN sebagai “parti 2 peratus” dan tindakan Timbalan Ketua AMK Pusat yang juga Ahli Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Dr. Afif Bahardin, yang menggelarkan PAN sebagai “parti 1.4-1.5 peratus”.

Perbuatan gelar-menggelar yang sudah bertukar menjadi hina-menghina antara pemimpin PKR dan PAN ini memberikan imej yang sangat tidak baik terhadap kesatuan politik dalam Pakatan Harapan diketuai DAP itu seolah-olah langsung tidak mempunyai sebarang mekanisme untuk mendisiplinkan ahli-ahlinya.

Benar, Perjanjian Pakatan Harapan memberi hak kepada setiap anggota dari setiap parti untuk membuat aduan terhadap anggota dari parti lain melalui Badan Perantara, tetapi malangnya sehingga kini Badan Perantara ini tidak diketahui telah diwujudkan oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan menyebabkan aduan begini tidak dapat dibuat di samping tiadanya tindakan proaktif dari pimpinan tertinggi parti itu sendiri untuk menyelesaikan pertikaian.

Bila gelar menggelar sudah bertukar nada menjadi hina-menghina, alamatnya hubungan kedua-dua parti politik ini bagai retak menanti belahlah.

Ini kerana hanya parti politik yang tidak bermaruah sahaja yang ahli-ahlinya sanggup membiarkan parti mereka dihina sesuka hati.