Surat Sampingan tersebut ditandatangani oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bersama Menteri Penyelarasan Infrastruktur dan Menteri Pengangkutan Singapura, Khaw Boon Wan di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Hadir menyaksikan majlis tersebut adalah Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Timbalan Perdana Menteri Singapura yang juga Menteri Penyelaras Keselamatan Singapura, Teo Chee Hean.

Menurut Mohamed Azmin, menerusi persetujuan dicapai, Malaysia akan membayar kos penangguhan kepada Singapura sebanyak Dollar Singapura 15 juta (RM45.1 juta) sebelum Januari tahun hadapan.

“Saya tidak hendak mengulas mengenai kos pembatalan projek (sekiranya tidak diteruskan selepas Mei 2020) kerana komitmen kita adalah untuk meneruskan projek,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis berkenaan di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE