Sehingga lebih 300,000 tandatangan dikumpul menerusi petisyen digerakkan Gerakan Pengundi Sedar (GPS) membuktikan sebilangan besar rakyat tidak mahu pemimpin Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) itu berada dalam Kabinet.

Sehubungan itu, Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (Ummah), Aminuddin Ya­haya mendesak kerajaan meng­horma­ti dan mendengar suara rak­yat demi memastikan perpa­duan serta keamanan terjamin.

Dakwa Aminuddin, Waytha Moorthy telah gagal menjalankan tanggungjawab dengan berkesan sebagai seorang menteri yang diberi pera­nan meningkatkan perpaduan negara.

“Kerajaan terutama Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad perlu ambil serius. Petisyen menolak Waytha Moorthy itu membuktikan beliau tidak layak menganggotai Kabinet.

“Jika kerajaan cintakan kedamaian, perpaduan dan keamanan yang dinikmati, perkara sebegini perlu diambil kira. Kalau tidak, mereka seolah-olah tidak menghormati suara rak­yat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sehingga pukul 5 petang tadi, lebih 305,663 tandata­ngan menolak Waytha Moorthy berjaya diraih menerusi petisyen berke­naan manakala ramai menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu dalam media sosial.

Petisyen di­ge­rak­kan pe­nyo­kong Waytha Moor­thy untuk me­ngekalkannya da­lam Kabinet pula hanya mengumpul 33,820 tandatangan.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, pihaknya masih belum mendapat apa-apa respons selepas seminggu memorandum bagi menuntut keadilan terhadap anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim dan mendesak Waytha Moorthy meletakkan jawatan diserahkan kepada Perdana Menteri.