Tidak pernah berlaku dalam sejarah sejak negara mencapai kemerdekaan, kerusi Parlimen jatuh ke tangan pembangkang tetapi keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kelmarin, menyaksikan satu kerusi Parlimen iaitu Kangar 'tumbang' ke tangan PKR.

Lebih mengejutkan apabila jika sebelum ini, hanya kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sanglang diwakili Pas manakala Indera Kayangan pula oleh PKR, namun dalam 'bapa segala pilihan raya' kali ini, tiga lagi kerusi 'terlepas' daripada genggaman Barisan Nasional (BN).

Untuk rekod, kerusi DUN Sena dan Kuala Perlis tidak pernah jatuh ke tangan pembangkang melainkan Guar Sanji pernah 'diberikan' kepada Pas untuk satu penggal pada PRU-10.

Bagi rakyat Perlis, tidak sukar untuk meneka punca kekalahan bagi DUN Kuala Perlis, kerana penduduk di kawasan itu jelas telah menolak calonnya.

Malah di peringkat awal lagi sudah ada gerakan kecil membantah calon BN itu semasa pengumumannya di Kangar selain tindakan sekumpulan penduduk mencabut bendera BN yang videonya tular di laman-laman sosial.

Harus diingat, calon kerusi DUN itu dan satu lagi kerusi iaitu Sena, merupakan muka lama yang membuat penampilan semula. Faktor prestasi calonnya sebelum ini sehingga menyebabkan penduduk menolak mereka, tidak boleh dipandang sebelah mata.

Bagi DUN Guar Sanji pula, penduduk masih menyayangi penyandang kerusi itu yang telah berkhidmat sejak tiga penggal lalu dengan cemerlang. Pertukaran calon turut menyebabkan penduduk melakukan protes dalam senyap.

Begitu juga di kerusi Parlimen Kangar, disebabkan berlakunya protes terhadap calon muka baharu, sebahagian jentera parti sendiri dikatakan tidak bergerak lancar bagi memberi sokongan padu.

Kesimpulannya, melainkan kerusi DUN Sanglang dan Indera Kayangan, kekalahan tiga kerusi DUN yang baharu (Kuala Perlis, Sena dan Guar Sanji) serta Parlimen Kangar, besar kemungkinan bukanlah disebabkan oleh pengaruh isu nasional tetapi kerana pucuk pimpinan gagal meletakkan atau mengekalkan calon kesukaan rakyat.

Pucuk pimpinan negeri oleh itu haruslah belajar segera daripada kesilapan ini dan tidak memandang rendah terhadap 'suara' penduduk setempat kerana rakyat Perlis sebenarnya masih menyokong BN melainkan kehendak-kehendak mereka ini diketepikan.