Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, tindakan itu merupakan hak parti-parti berkenaan yang tidak boleh dipertikai oleh mana-mana pihak.

"Mereka ada hak untuk menubuhkan blok sendiri. Hakikatnya, kita kena terima bahawa sebuah parti yang selama ini telah berkhidmat kepada rakyat dalam semua bidang, telah ditolak oleh rakyat di bawah atas faktor-faktor tertentu.

"Mereka positif tentang perkara itu jadi kita relakanlah. Keputusan mereka perlu dihormati dan dalam masa sama, kita berusahalah sehabis baik untuk mengukuhkan parti," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar ketika menghadiri Majlis Berbuka Puasa Badan Perhubungan UMNO negeri di sebuah Hotel The Jerai di sini, hari ini.

Hadir sama bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Tan Sri Osman Aroff serta Setiausaha Perhubungan UMNO negeri, Datuk Md. Rozai Shafian.

Sementara Mahdzir yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri enggan mengulas ketika ditanya mengenai desas-desus mengatakan yang beliau akan kembali memimpin UMNO negeri bagi menggantikan Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah dalam masa terdekat.

"Perkara itu saya serahkan kepada pucuk pimpinan selepas pemilihan parti nanti. Setakat ini perkara itu masih kekal sebagai desas-desus dan sebaiknya kita tunggu saja selepas pemilihan," katanya.

Dalam pada itu katanya, UMNO tidak boleh lagi bertindak selaku parti yang menjaga kebajikan semata-mata sebaliknya perlu mempelbagaikan usaha bagi menarik keyakinan rakyat kepada parti itu.

"Kalau kita ingat dengan sekadar menghulurkan bantuan, berbuat kebajikan akan dapat menarik hati rakyat seperti dulu-dulu, kita telah silap. Akhirnya pilihan raya umum lalu membuktikan betapa kita dikalahkan oleh teknologi maklumat terutamanya yang sampai menerusi gajet seperti telefon-telefon pintar.

"Bererti kita tidak boleh hanya tumpu kepada kebajikan semata-mata sebaliknya perlu menguasai semua bidang untuk memenangi hati rakyat," katanya. - UTUSAN ONLINE