Baginda bertitah, wakil rakyat yang dipilih perlu mengabdikan diri untuk berkhidmat kepada rakyat yang memilih mereka dan ia merupakan amanah baharu.

“Laksanakan tanggungjawab dan penuhi amanah tersebut secara berintegriti,” titah baginda pada istiadat angkat sumpah Menteri Besar Perak yang baharu di Istana Iskandariah di sini, hari ini.

Pada istiadat itu, Sultan Nazrin berkenan menyerahkan watikah pelantikan Menteri Besar kepada Anggota Dewan Undangan Ne­geri (ADUN) Chenderiang, Ahmad Faizal Azumu.

Sultan Nazrin bertitah PRU-14 pada Rabu lepas telah memperlihatkan kematangan rakyat menggunakan hak politik ma­sing-masing seterusnya membolehkan proses memilih kerajaan, menu­buhkan kerajaan dan peralihan kuasa dilangsungkan secara aman dan tenteram.

Baginda juga menzahirkan penghargaan kepada pelbagai pihak yang memberikan komitmen sekali gus membolehkan segala proses yang berkaitan dapat berlangsung dengan aman dan tenteram.

“Pilihan raya telah selesai. Cabaran utama pascapilihan raya adalah untuk kembali menyatukan warga dalam semangat biduk berlalu, kiambang bertaut.

“Jauhilah sifat yang menang, menang semua; sementara yang kalah, kalah semua. Amalkan sifat yang sentiasa bersedia mende­ngar suara rakyat dengan minda terbuka, serta bersedia mengaku kesilapan dan bersedia membe­tulkan kesilapan,” titah baginda.

Sultan Nazrin turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Ahmad Faizal kerana mendapat sokongan majoriti ADUN selain mendapat perkenan untuk menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Besar.

“Beta juga mengucapkan tahniah kepada semua calon daripada semua parti yang telah berjaya mendapat kepercayaan rakyat, dipilih menjadi ahli Dewan Ne­geri Perak Darul Ridzuan,” titah baginda.

Pada PRU-14, Pakatan Harapan yang terdiri daripada PKR, DAP, Amanah dan PPBM mendapat 29 daripada 59 kerusi DUN, manakala BN 27 dan PAS (3).– BERNAMA