Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki juga meminta anggota UMNO tidak melemparkan sebarang cemuhan terhadap bekas menteri UMNO tersebut berikutan keputusan yang diambil Mustapa.

“Walaupun berat untuk menerima berita ini, namun mengenali nilai perjuangan tokoh ini mungkin ada sebab yang berat dan sukar untuk beliau jelaskan buat masa ini.

“Saya sarankan setiap warga parti agar bertenang, hormati keputusannya dan usah mencemuh beliau,” kata Asyraf Wajdi dalam satu hantaran di Facebook pagi ini.

Menurut Asyraf Wajdi, agenda pengukuhan dan reformasi UMNO harus diteruskan.

Jelas beliau, sejak awal penubuhan UMNO, pemimpin datang dan pergi, namun perjuangan tetap diteruskan demi kelangsungan sebuah perjuangan suci.

Dalam hantaran tersebut, Asyraf Wadji menyifatkan Mustapa sebagai mentor, guru dan bagaikan bapa dalam politik UMNO di Kelantan hampir sedekad lalu.

Menurut Asyraf Wajdi, bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan itu juga sentiasa memberi tunjuk ajar kepada beliau untuk menjadi pemimpin parti yang sentiasa berpegang kepada prinsip integriti, kesederhanaan dan kesetiaan kepada perjuangan.

Malah Mustapa turut membantu dan mendorong Asyraf Wajdi bertanding Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia pada Jun lalu bagi membawa agenda reformasi dalam UMNO. - UTUSAN ONLINE