Hal ini kerana, sebagai seorang bekas pemimpin utama pertubuhan yang lantang memperbesar-besarkan isu berkenaan, adalah tidak berbaloi untuk pelopor sepertinya meninggalkan pertubuhan itu sekiranya masih mempunyai kesangsian terhadap perjalanan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Mohd. Azizuddin Mohd. Sani berkata, beliau tidak menolak bahawa Bersih hanya dijadikan platform untuk Maria Chin memperkenalkan diri serta mencipta pengaruhnya sebelum terjun ke arena politik untuk mencapai cita-cita sebagai wakil rakyat.

Katanya, tindakan itu juga jelas menunjukkan bahawa Bersih sememangnya bukan sebuah pertubuhan yang bebas sebaliknya hanya dijadikan alat untuk sesetengah pihak untuk mencapai hasrat peribadi.

“Keputusan beliau untuk meninggalkan Bersih dan menjadi calon gabungan pembangkang PKR telah mengiyakan bahawa NGO itu sememangnya cenderung kepada pakatan berkenaan.

“Apabila menjadi calon nampaknya Maria Chin sudah menerima dan mengiktiraf sistem demokrasi di negara ini. Beliau nampaknya sudah sedia untuk dipilih oleh rakyat melalui sistem pilihan raya yang dahulunya dikatakan sebagai tidak telus dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pengumuman Maria Chin sebagai salah seorang calon gabungan pembangkang PKR untuk kerusi Parlimen di Selangor telah disempurnakan oleh Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail dalam satu sesi ceramah pakatan berkenaan di Kuala Selangor, dekat sini malam semalam. - UTUSAN ONLINE