Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, tindakan itu sama sekali berbeza semasa Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu menjadi Perdana Menteri.

Menurutnya, perkara tersebut adalah sesuatu yang ‘amat pantang’ semasa Dr. Mahathir me­nyandang jawatan berkenaan selama 22 tahun.

“Saya masa itu Ketua Pemuda, saya tengok bila dia memimpin dan mereka tuduh bahawa pembangkang menjual maruah, menggadaikan kedaulatan dan cuba meraih simpati kuasa-kuasa lain.

“Tetapi sekarang ini lain pulak, orang dapat lihat hipokrasi beliau dan apa yang Dr. Mahathir sanggup lakukan bila matlamat menghalalkan cara. Cakap tak serupa bikin,” katanya ketika mengulas dakwaan bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim mengenai ranca­ngan pembangkang itu yang dijang­ka ke AS pada 20 Februa­ri ini.

Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan dan Ahli Parlimen Sembrong ditemui selepas melancarkan Agenda Pembangunan Perumahan Sembrong (APPS) di Felcra Sungai 10, Paloh, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Kese­jahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar dan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Md. Jais Sarday.

Dalam pada itu, Hishammuddin turut mendoakan kesihatan Dr. Mahathir yang dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) semalam.

“Kita doakan dia sembuh cepat sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14),” katanya.

Mengulas mengenai APPS, beliau berkata, sebanyak 2,000 unit rumah disasarkan siap dibina di kawasan Parlimen tersebut menjelang tahun 2021.

Katanya, APPS bertujuan meneliti perancangan pembangunan perumahan di kawasan itu supaya berada pada landasan tepat kerana agenda perumahan merupakan perkara yang cukup dekat dengan hati dan keperluan masyarakat Sembrong.