MOHD. AISHAMUDDIN YAAKOB
MOHD. AISHAMUDDIN

Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) negeri, Mohd. Aishamuddin Yaakob berkata, akta tersebut perlu diguna pakai dalam menangani perkara yang boleh mencetuskan kebimbangan dalam masyarakat seperti yang dilakukan oleh Hindraf sehingga mengundang kemarahan orang Melayu khususnya.

Katanya, UiTM ditubuhkan bagi memberi keistimewaan pendidikan kepada orang Melayu dan bumiputera lain seperti yang terkandung dalam artikel 153, Perlembagaan Persekutuan iaitu apa sahaja cadangan yang boleh mencabar keistimewaan ini disifatkan sebagai melanggar Perlembagaan.

"Hari ini, seolah-olah masih ada lagi rakyat Malaysia yang tidak faham soal Perlembagaan dan hak bangsa di Malaysia ini," katanya kepada Utusan Online, di sini hari ini.

Semalam, Hindraf menyerahkan memorandum mengandungi 25 tuntutan antaranya termasuk pengambilan 15 peratus pelajar kaum India ke universiti awam termasuk UiTM.

Mengulas lanjut, Mohd. Aishamuddin juga mengesyorkan supaya kefahaman mengenai Perlembagaan Persekutuan dipertingkatkan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.

"Hal tersebut penting supaya tidak ada mana pihak lagi yang cuba mencemarkan dan melanggar keistimewaan orang Melayu seperti mana yang terkandung di dalam Perlembagaan," katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Aishamuddin juga menggesa mana-mana pemimpin parti politik supaya tidak menyentuh mengenai hak keistimewaan orang Melayu kerana perkara itu boleh membangkitkan kemarahan dan permusuhan kaum.

"Malaysia baharu, seharusnya pemikiran rakyat juga perlu lebih ke hadapan serta menghormati hak setiap rakyat Malaysia dan apa yang tertakluk di dalam Perlembagaan," katanya. - UTUSAN ONLINE