Penasihat GASAK, Dr. Abdul Kadir Warsi Mohamed mendakwa, tindakan Wan Ji itu menunjukkan dia mempunyai agenda terancang untuk mewujudkan propaganda bagi mewujudkan kebencian kepada raja Melayu sekali gus menjadikan Malaysia sebagai negara republik pada 2030.

“Wan Ji mewujudkan kebencian kepada Sultan sehingga sanggup mengelarkannya sebagai syaitan dan secara berperingkat mahu menghapuskan institusi raja-raja Melayu. Dia menjelaskan perancangannya itu sehingga menjadi tular di media sosial dan menjadi bualan ramai.

“Tindakan tersebut menimbulkan kebimbangan di pihak GASAK kerana boleh mencetuskan ketegangan selain perbuatan Wan Ji itu jelas perbuatan menderhaka kepada sultan berdasarkan peruntukan undang-undang Seksyen 121 Kanun Keseksaan kerana mengancam keselamatan negara,” katanya di sini hari ini.

GASAK yang mewakili kira-kira 10 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini berhimpun bagi mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan siasatan terhadap Wan Ji yang disifatkan sebagai pengkhianat negara di hadapan Masjid Zahir, di sini.

Terdahulu, GASAK membuat satu laporan polis di Balai Polis, Kuala Nerang bagi menyiasat klip video yang tular mengenai rancangan Wan Ji untuk meruntuhkan institusi raja-raja Melayu sekaligus mewujudkan kebencian dalam kalangan rakyat. - UTUSAN ONLINE