Laporan kira-kira pukul 11.30 pagi itu dibuat oleh Hilman yang juga Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat di Pejabat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), di sini.

Menurut Hilman, pihaknya akan memberi kerjasama sewajarnya kepada polis dan JAWI atas segala siasatan yang dilakukan.

“Insya-Allah saya yakin dan tegaskan pendirian saya bahawa keyakinan kami, ia tuduhan palsu dan fitnah jahat diadakan untuk menjejas reputasi dan keperibadian Mohamed Azmin.

“Saya tegaskan lagi bahawa fitnah ini merupakan suatu konspirasi jahat untuk menyekat kemaraan Mohamed Azmin dalam politik,” katanya dalam sidang akhbar selepas membuat laporan qazaf berkenaan.

Semalam, individu mendakwa terlibat sama dalam video terbabit dilaporkan tampil membuat pengakuan bersumpah bahawa dia terlibat dalam aksi tersebut bersama Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR.

Mengaku namanya sebagai Haziq Aziz, lelaki itu mendakwa video tersebut dirakam pada 11 Mei lalu di sebuah bilik hotel di Sandakan.

Individu berkenaan dipercayai Muhammad Haziq Abdul Aziz iaitu Setiausaha Sulit Kanan kepada Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md. Akin yang tampil membuat pengakuan bersumpah bahawa dia adalah lelaki melakukan seks sejenis bersama menteri itu.

Sementara itu, ditanya tentang dakwaan Haziq bahawa beliau berjumpa dengannya di sebuah restoran di Marriot Putrajaya pada hari kejadian, Hilman mengesahkan pertemuan berkenaan tetapi enggan mengulas lanjut. -UTUSAN ONLINE