Setiausaha Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Othman Aziz berkata, kini ramai yang tidak memahami prinsip Rukun Negara yang diwujudkan pada 1970 bagi tujuan membina bangsa perpaduan negara.

Prinsip Rukun Negara kini hanya diperdengarkan tanpa kefahaman dan penghayatan, dan ini telah menyebabkan ramai tidak memahami maksud sebenar prinsip tersebut serta menimbulkan isu sensitif yang boleh menjejaskan kedaulatan negara, katanya semasa membahas ucapan dasar Presiden pada perhimpunan itu di sini hari ini.

“Negara kita kini diduga dengan pelbagai ancaman, cubaan dan cemuhan akibat zaman teknologi yang tiada sempadan sehingga menimbulkan insiden perkauman, isu menggugat institusi diraja dan mempertikaikan agama suci Islam.

“Sebagai langkah jangka panjang, kita perlu melihat semula semangat daripada intisari prinsip Rukun Negara untuk menyegarkan pemikiran rakyat akan kepentingan rukun ini bagi memastikan perpaduan negara terjamin,” kata anggota Parlimen Jerlun itu.

Beliau turut memberi contoh insiden peserta perhimpunan Bersih 4.0 pada Ogos lalu yang memijak gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang merupakan satu perbuatan biadap.

Perlakuan tersebut bakal mengundang budaya negatif dalam masyarakat jika tiada tindakan diambil untuk mewujudkan kembali penghayatan Rukun Negara.

Sebagai langkah permulaan, Othman mencadangkan kefahaman dan kesedaran mengenai Rukun Negara perlu dipertingkatkan di institusi pendidikan seperti di sekolah, Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan universiti awam dan swasta. - BERNAMA