Gesaan itu disuarakan oleh 12 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang diketuai oleh Ketua Pemuda Dewan Perhimpunan China Kuala Lumpur dan Selangor, Siah Kwong Liang yang mendakwa ahli parti itu masih ramai yang tidak menghayati semangat demokrasi.

“Kami berpendapat bahawa pemimpin UMNO dan Datuk Seri Najib Tun Razak perlu bertanggungjawab terhadap kekecohan baru-baru ini dengan memecat ahli parti yang terlibat dan meminta maaf kepada kumpulan mahasiswa dan wartawan terlibat.

“Selain itu, UMNO harus menjalankan reformasi dengan menghentikan ‘politik samseng’ dan mendidik ahli-ahlinya mengenai pengetahuan hak asasi manusia dan semangat demokrasi supaya berunding dengan aman dan rasional.

“Jangan sekali-kali mencetuskan tindakan keganasan yang menjejaskan keharmonian dan kesejahteraan di negara ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam dan beberapa penyokong Najib yang dilihat banyak pihak sebagai bertindak kasar terhadap tujuh pelajar di hadapan Restoran Amjal berhampiran Universiti Malaya (UM) pada Jumaat lalu.

Lokman selepas kejadian itu menjelaskan, beliau bertindak merampas dan mengoyak poster yang dipegang sekumpulan pelajar tersebut kerana tertera gambar pemimpinnya.

Antara NGO lain yang membantah tindakan itu seperti Persatuan Lee Bersatu Selangor dan Kuala Lumpur, Pemuda Persatuan Hokkien Selangor dan Kuala Lumpur Gerakan Mahasiswa Maju Universiti Putra Malaysia serta Persatuan Kwangsi Selangor dan Kuala Lumpur.

Kwong liang dalam pada itu menjelaskan tindakan mahasiswa yang berani bersuara dan mengkritik perlu digalakkan dan dipertahankan.

“Mahasiswa seharusnya sentiasa peka terhadap isu-isu semasa, membantah ketidakadilan, penyalahgunaan kuasa dan rasuah serta berani memperjuangkan hak asasi mahasiswa dan rakyat,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE