Sambil melahirkan rasa sedih dan kecewa, Mufti negeri, Datuk Seri Dr. Wan Salim Mohd. Noor berkata, kontroversi itu merupakan pertarungan poltik amat tidak sihat dengan mengenepikan ajaran Islam dan nilai-nilai moral menerusi penyebaran video berunsur fitnah yang disasarkan terhadap peribadi seorang pemimpin.

Menurut beliau, penyebaran video itu boleh merosakkan imej umat Islam di mata dunia di samping merupakan dosa yang besar di sisi Allah SWT.

“Sebagai umat Islam, kita sepatutnya mempamerkan contoh akhlak yang baik dalam segala bidang termasuk politik.

“Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya menolak permainan politik kotor dan tidak bermoral ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai kontroversi video seks songsang yang didakwa melibatkan seorang Menteri kanan yang tular ketika ini yang semakin rumit selepas seorang lelaki mengaku terlibat dalam video tersebut bersama Menteri berkenaan.

Dalam pada itu, Wan Salim berkata, individu yang melakukan fitnah dalam isu video tersebut perlu diadili di Mahkamah Syariah Sabah dan dikenakan hukuman qazaf menurut peruntukan undang-undang sedia ada. -UTUSAN ONLINE