Henti kecam pemimpin, tumpu hala tuju masa depan - Pemuda UMNO Artikel Penuh: http://www.utusan.com
 

Menurut Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kota Raja, Sheikh Weshal Sheikh Ahmad, beliau sebaliknya mahu pemimpin di semua peringkat supaya memberi lebih tumpuan kepada usaha untuk memulihkan semula keyakinan rakyat terhadap parti itu.

“Sudah beberapa bulan berlalu, UMNO dilihat masih tiada hala tuju yang boleh difahami oleh akar UMNO parti.

“Sepatutnya tugas mereka (pemimpin) membantu Presiden (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi) merangka strategi baharu memulihkan parti yang semakin dijauhi rakyat,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Tambah Sheikh Weshal, beliau mahu semua pihak dalam UMNO supaya mengambil iktibar daripada kekalahan yang dialami parti itu daripada melakukan sebarang tindakan yang boleh merugikan parti pada masa depan.

Tegasnya, rakyat termasuk ahli-ahli parti sudah muak dengan cara politik mengecam pemimpin yang seolah-olah menyaksikan UMNO masih kekal dengan cara lama dan masih tidak mahu berubah.

Semalam, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani mahu parti itu merehatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak daripada menyertai mana-mana kempen pilihan raya akan datang kerana dikhuatiri membawa persepsi negatif.

Pandangan yang sama turut dilontarkan Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa apabila menyatakan UMNO memilih untuk menjarakkan diri daripada Najib sekaligus menggambarkan bekas Perdana Menteri itu sebagai ‘beban’ yang perlu disingkirkan bagi membolehkan parti mendapat semula sokongan. - UTUSAN ONLINE