Presiden Pertubuhan Harmoni Masyarakat Melayu Perak (Harmonis), Datuk Rosli Yang Danian berkata, pihaknya beranggapan isu itu sengaja ditimbulkan oleh pihak tertentu bagi menjatuhkan reputasi kepemimpinan kerajaan negeri.

Beliau berkata, perkara itu bukan sahaja boleh menjejaskan hubungan akrab barisan kepemimpinan negeri sedia ada, malahan ia adalah suatu permainan politik yang tidak sihat serta tidak bertanggungjawab.

“Dalam isu ini, ada pihak yang telah membuat laporan polis dan Harmonis percaya, sekiranya ia berasas sudah pasti pihak polis akan mengambil tindakan sewajarnya.

“Oleh itu, Harmonis meminta semua pihak khususnya penyokong kerajaan supaya bertindak lebih rasional dan berpolitik secara matang dalam memelihara kepemimpinan negeri,” katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan Harmonis buat kali pertama di sini hari ini.

Dalam pada itu, Rosli berkata, para pemimpin baik di pihak kerajaan mahupun pembangkang, perlu memberikan lebih tumpuan ke arah mencari kaedah terbaik untuk memajukan negeri serta memakmurkan kehidupan rakyat.

Menurut Rosli, mereka tidak seharusnya memburuk-burukkan atau menjatuhkan individu tertentu dan cuba menonjolkan diri, seolah-olah hanya merekalah yang terbaik.

“Perlu diingatkan bahawa setiap pemimpin mempunyai peranan masing-masing. Pihak kerajaan berusaha memajukan negeri manakala pihak pembangkang memberikan teguran positif demi manfaat rakyat.

“Berilah peluang secukupnya untuk kerajaan negeri sekarang ini menunjukkan jasanya kepada rakyat dengan mengurus negeri tanpa gangguan. Budaya menghentam sesama sendiri dan menjaja isu tidak bermoral ini akan mengaibkan maruah pihak tertentu,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Harmonis turut menggesa supaya kerajaan negeri mengkaji semula penempatan pegawai-pegawai di semua peringkat termasuk syarikat milik kerajaan (GLC) negeri dan kerajaan tempatan.

Rosli berkata, langkah itu bagi memastikan mereka yang benar-benar layak, berkelulusan, berintegriti serta menjaga hubungan baik dengan masyarakat yang diambil supaga ia tidak menjadi bahan kritikan mana-mana pihak. - UTUSAN ONLINE