Dr. Mahathir mendakwa, beliau tidak mendapat kebenaran daripada Jabatan Penjara untuk melawat Ketua Umum PKR itu yang sedang menjalani rawatan pemulihan selepas pembedahan bahu kanan pada November lalu.

"Saya kecewa kerana tidak dibenarkan melawat, saya tidak dapat jumpa kerana diberitahu ada arahan supaya saya tidak boleh berjumpa dengan Anwar.

"Saya cuma ingin berjumpa dengan beliau untuk mengucapkan terima kasih kerana tidak membantah malah menyokong saya sebagai calon Perdana Menteri," katanya ketika ditemui di perkarangan unit kemasukan pesakit wad, Hospital Rehabilitasi Cheras, hari ini.

Terdahulu, Dr. Mahathir tiba kira-kira pada pukul 4.15 petang, dibawa ke ruang menunggu hospital berkenaan.

Beliau kemudian diiringi oleh Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar untuk memasuki Unit Kemasukan Pesakit Wad namun keluar selepas kira-kira 15 minit berada di lobi wad berkenaan.

Dalam pada itu, Nurul Izzah pula mengakui tidak membuat permohonan secara bertulis kepada Jabatan Penjara bagi membenarkan Dr. Mahathir melawat Anwar hari ini.

"Kita hanya membuat secara arbitrari. Sebelum ini ada juga Menteri melawat tanpa sebarang surat bertulis," katanya. - UTUSAN ONLINE