DAP yang dilihat cuba memperluaskan pengaruh mereka di negeri ini selepas ketiadaan Pas dalam gabungan pembangkang difahamkan berhasrat meletakkan calon di DUN Kuala Perlis, Pauh dan beberapa lagi kawasan lain.

Timbalan Pengerusi PKR negeri, Chan Ming Kai berkata, DAP ada meminta tambahan kerusi bagaimanapun hasil perbincangan Pakatan Harapan yang diadakan sebanyak dua kali sebelum ini menyaksikan DAP kekal bertanding di Titi Tinggi.

“DAP akan kekal bertanding di kawasan Titi Tinggi iaitu DUN yang ditandingi mereka pada pilihan raya lalu," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Dalam pada perkembangan berkaitan, Ming Kai memberitahu, proses pengagihan kerusi DUN melibatkan Pakatan Harapan di negeri ini masih belum selesai apabila hanya 70 peratus dimuktamadkan setakat ini.

Bagaimanapun, beliau percaya pengagihan tersebut yang melibatkan kerusi DUN Sena, Pauh, Tambung Tulang, dan Simpang Empat dapat diselesaikan minggu depan.

“Kerusi itu membabitkan PPBM (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) dan PKR. Sehingga kini, 11 daripada keseluruhan 15 DUN di negeri ini telah dimuktamadkan iaitu PKR (tiga), PPBM (tiga), DAP (satu) dan Amanah (empat)," katanya.

Tambah beliau, PKR bakal meletakkan calonnya di DUN Kuala Perlis, Indera Kayangan dan Chuping manakala PPBM pula di Mata Ayer, Kayang serta Guar Sanji.

“Manakala Amanah (PAN) di kawasan Santan, Beseri, Sanglang dan Bintong," katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Indera Kayangan. - UTUSAN ONLINE