Jelas bekas Perdana Menteri, kepentingan negara perlu menjadi keutamaan dan mengambil kira nilai yang diamalkan orang Melayu, perkara itu tidak perlu sampai ke tahap membalas dendam.

“Kita boleh ada perbezaan pendapat, tetapi kita taklah orang kata sampai berpatah arang. Ini bukan sikap orang Melayu. Tak berkelahi teruk-teruk sangat. Saya harap kita ini beza pendapat tetapi mestilah utamakan kepentingan negara.

“Kalau kita ada niat nak balas dendam kesumat, benda ini akan berterusan. Kalau buat hari ini, esok akan berlaku balik. Jadi bila nak berkesudahan? Apa jadi pada politik negara kita?,” katanya seperti dipetik portal berita Free Malaysia Today.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dalam program Siri Legasi bersama Datuk Seri Najib Tun Razak di Residensi Kerinchi, hari ini.

Tambah Najib, Dr. Mahathir juga belum lagi cuba menyelesaikan apa sahaja perbezaan pendapat yang berlaku antara mereka berdua.

“Setakat ini tiada sebarang isyarat tetapi jika anda mahu tanya, anda patut tanya beliau,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Najib menegaskan Barisan Nasional (BN) tidak pernah mengugut atau mengancam untuk memecat pemimpin masyarakat Orang Asli atau Tok Batin seperti yang didakwa dilakukan Ahli Dewan Negara, Senator Bob Manolan Mohamad jika tidak menyokong Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands.

“Kita tak ugut Tok Batin Cameron Highlands. Sokong BN tak dapat elaun. Kita tak buat macam itu. Siapa sokong (atau) tak sokong awak, rakyat Malaysia berhak dapat bantuan,” katanya. - UTUSAN ONLINE