Ketua Pergerakan Pemuda UMNO negeri, Noor Hariri Mohamed Noor berkata, kerajaan mengambil langkah yang tidak masuk akal meminta rakyat berdikari tanpa bantuan.

Beliau berkata, ini kerana BR1M merupakan bentuk subsidi bersasar yang diperkenalkan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini bagi menggantikan sistem subsidi pukal.

“Melalui BR1M semua rakyat yang berpendapatan bawah RM3,000 dapat merasai limpahan kemakmuran negara selain kemudahan prasarana disediakan oleh kerajaan.

“BR1M merupakan satu medium merancakkan ekonomi setempat dengan aliran tunai yang wujud hasil sumbangan kerajaan. Bagi saya tindakan itu tidak praktikal untuk perkembangan ekonomi negara pada masa hadapan,” katanya di sini hari ini.

Noor Hariri memberitahu, Pemuda UMNO Kelantan mendesak kerajaan supaya mengkaji secara mendalam sebelum membuat sebarang keputusan menghapuskan bantuan tersebut.

Katanya, tidak salah perkara baik yang telah dibuat oleh kerajaan BN sebelum ini diteruskan demi kebaikkan rakyat.

“Harus diakui BR1M memberikan kebaikkan kepada kerajaan dan rakyat terutama dalam menggerakan ekonomi negara,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE