Bekas Timbalan Presiden Pas itu menjelaskan selepas dikekankan tuduhan, beliau memberi kerjasama penuh terhadap siasatan SPRM yang sekali gus memberi peluang kepadanya membuat penjelasan.

Katanya lagi, beliau telah mengemukakan dokumen se­perti yang diminta suruhanjaya itu ketika menghadiri sesi keterangan hari ini.

“Selain dokumen diminta, juga dikemuka penyata kewa­ngan, akaun bank dan segala butirannya, termasuk membabitkan akaun saya dan yayasan.

“Mereka juga tanya daripada sumber mana dan bagaimana ia keluar, kemudian saya jawab dengan semua termaktub se­perti dalam penyata kewangan itu,” katanya ketika ditemui di pekarangan ibu pejabat SPRM, di sini hari ini.

Dalam masa sama, Nasharudin yang juga bekas Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMMF) berkata, beliau amat berpuas hati dengan proses mengambil keterangan yang dijalankan pegawai SPRM.

Beliau berharap semua pihak memberi ruang kepada suruhanjaya itu menjalankan siasatan kes berkenaan.

“Saya juga berharap semua pihak, contohnya bagi mereka yang kata ada bukti dan sebagainya untuk tampil dan bawa bukti-bukti tersebut.

Sebelum ini, dilaporkan beberapa pemimpin dan bekas pemimpin Pas akan dipanggil SPRM berhubung dakwaan kemasukan RM90 juta ke dalam akaun mereka.