Hamidah berkata, beliau kini merupakan antara penaja kepada parti baharu, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) yang kini sedang menunggu kelulusan daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Menurut Hamidah, beliau telah dijemput oleh Datuk Ibrahim Ali untuk bersama-sama Putra dan berpendapat parti itu adalah platform yang sesuai baginya.

"Biarlah saya berterus-terang mengenai situasi keseluruhannya, besar kemungkinan saya akan bersama-sama dengan Putra," katanya dalam sidang akhbar di kediamannya di Kampung Tersusun di sini hari ini.

Sementara itu, Hamidah mengakui telah menulis surat kepada UMNO setelah melihat terdapat keperluan untuk beliau kembali kepada parti itu selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

"Selepas menghantar surat rayuan dan diminta hadir seminggu selepas itu, tiada sebarang jawapan diterima dalam tempoh tiga bulan dan saya hanya menerima surat penarikan balik pemecatan keahlian dari UMNO pada Sabtu lalu walaupun ia telah ditularkan lebih awal dalam media sosial," katanya. - UTUSAN ONLINE