Halimey Abu Bakar
Halimey Abu Bakar

Pucuk pimpinan parti memilih anak tempatan, Halimey Abu Bakar untuk menggalas tugas tersebut bagi berdepan cabaran daripada parti Pas melalui calonnya, Dr. Halimah Ali.

Perkara itu diumumkan oleh Presiden PH, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dalam majlis pengumuman calon PRK DUN Seri Setia di sini, malam ini.

Yang turut hadir ialah Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dan Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad.

PRK DUN Seri Setia yang dijalankan pada 8 September ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara PH dan Pas.

Pilihan raya berkenaan diadakan selepas penyandangnya yang juga Exco Kerajaan Negeri Selangor, Profesor Dr. Shaharuddin Badaruddin meninggal dunia pada 2 Ogos lalu akibat kanser usus.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Shaharuddin menang besar selepas memperoleh 29,250 undi mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Yusoff M. Haniff (9,878 undi), calon Pas, Mohd. Ghazali Daud (4,563 undi) dan calon Bebas, S. Vigneswaran (217 undi).

BN sebelum ini memutuskan untuk memberi laluan kepada Pas bertanding di Seri Setia sebagai membalas kesediaan Pas yang terlebih dahulu berbuat tindakan serupa di DUN Sungai Kandis. - UTUSAN ONLINE