Beliau berkata, pengguguran dan rombakan Kabinet boleh berlaku pada bila-bila masa.

Malah, Dr. Mahathir turut menganggap Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi layak dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri bagi menggantikan Muhyiddin.

“Kalau dia nak gugur, dia gugurlah...itu hak Perdana Menteri. Zahid juga layak seperti orang lain. Dia mendapat undian tertinggi dalam UMNO untuk jawatan Naib Presiden, “ katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Pusat Hati, Pusat Perubatan Prince Court (PCMC) di sini hari ini.

Yang turut hadir Presiden Yayasan Hepar Malaysia, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican dan Ketua Pegawai Eksekutif PCMC, Dr. Chong Su-Lin.

Ditanya adakah beliau berpuas hati dengan pembentukan barisan Kabinet baharu, Dr. Mahathir menjawab, itu terpulang kepada Perdana Menteri untuk memikirkannya.

“Saya berfikir Perdana Menteri sendiri memikirkan barisan Kabinet baharu itu lebih baik,” ujarnya.

Ditanya mengenai Tan Sri Abdul Gani Patail yang ditamatkan perkhidmatan sebagai Peguam Negara kerana mengalami masalah kesihatan, Dr. Mahathir berkata, Peguam Negara yang baharu boleh meneruskan siasatan yang sedang dijalankan termasuk dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Malah, katanya, empat ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang dilantik ke dalam Kabinet juga tidak memberi kesan apa-apa terhadap siasatan itu sehingga pengerusi yang baharu dilantik.

Mengenai kedudukan Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir sebagai Menteri Besar Kedah yang dikatakan turut tergugat kerana dilihat bertemu Muhyiddin selepas Timbalan Presiden UMNO itu digugurkan daripada Kabinet, Dr. Mahathir menjawab, dia tidak mengetahui apa akan berlaku kepada anaknya itu.

“Ada segelintir manusia yang tidak gembira, ada yang gembira dan ada yang paling gembira. Apabila seseorang ahli politik hilang kedudukannya, di situ terdapat tempat kosong dan ramai yang ingin mengisinya,” ujarnya.