Menurutnya, jenis kereta yang ditawarkan ialah Perodua Myvi, Proton Persona, Proton Iriz, Proton Saga, Proton Suprima, Proton Preve manakala hadiah utama ialah Proton Perdana model terbaharu.

“Mereka yang ingin menyertai cabutan bertuah ini perlu berdaftar sebagai ahli UMNO dan pengundi pada pilihan raya umum akan datang serta mendaftar untuk menghadiri sambutan ulang tahun tersebut menerusi aplikasi Malaysia4All yang dibuka bermula hari ini sehingga pukul 12 tengah hari, 10 Mei ini.

“Pertandingan terbuka kepada ahli dengan syarat mereka perlu hadir pada hari sambutan sebagai tanda kesatuan untuk bersama-sama meraikan sambutan Ulang Tahun UMNO Ke-71,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyela­rasan Teknikal Sambutan Ulang Tahun UMNO Ke-71 di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Du­nia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Tambah Ab. Rauf, bagi menjamin ke­telusan, sebuah agensi audit antarabangsa dilantik bagi mengawal selia cabutan bertuah berkenaan.

“Hadiah berkenaan sebagai menghargai ahli UMNO yang hadir dan bersama-sama memperjuangkan parti terutama bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang serta memberi sokongan kepada pucuk pimpinan parti,” katanya.

beliau berkata karnival kerjaya anjuran Pemuda UMNO akan turut diadakan pada 10 Mei di perkara­ngan stadium berkenaan.

Mengulas lanjut Ab. Rauf memberitahu, bagi memeriahkan sam­butan, UMNO turut menganjurkan pertandingan esei dan video bertemakan Tujuh Dekad Membangunkan Negara Bangsa yang menyediakan hadiah lumayan bagi kategori penulisan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris serta video pendek dengan tempoh durasi kurang tiga minit.

Pemenang pertama akan membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 berserta hadiah iringan berupa plak dan gajet manakala RM3,000 bagi pemenang kedua serta RM2,000 pemenang ketiga yang juga masing-masing menerima hadiah iringan.

Pertandingan terbuka kepada warganegara Malaysia berumur tidak melebihi 30 tahun dan pe­nyertaan boleh dihantar secara emel ke [email protected] sebelum pukul 5 petang pada 8 Mei ini.

Sementara itu, jelas Ab. Rauf, pelbagai program lain turut diadakan sempena sambutan tersebut termasuk acara kesukanan seperti bola sepak dan tarik tali serta la­rian bendera di empat penjuru iaitu Perlis, Kelantan, Johor dan Sabah bermula pada Hari Buruh hingga 11 Mei di Stadium Nasional Bukit Jalil.

“Dalam usaha menyemarakkan sambutan ulang tahun parti, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan menyempurnakan penyerahan rasmi bendera UMNO sempena program larian bendera kepada Pengerusi Badan Perhubu­ngan UMNO negeri pada mesyuarat Majlis Tertinggi yang akan diadakan 24 April ini.

“Bendera itu kemudiannya akan diserahkan kepada Ketua Pemuda UMNO negeri dan diarak bermula 1 Mei ke seluruh destinasi yang ditetapkan sebelum ber­akhir di ibu negara pada 10 Mei untuk dibawa masuk ke Stadium Nasional Bukit Jalil keesokkannya,” katanya.