Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebaliknya menegaskan dakwaan itu tidak benar sama sekali selain menyatakan Pas meletakkan semua calon di setiap kerusi Parlimen serta kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan menentang calon Barisan Nasional (BN).

"Dakwaan itu tidak benar. Kalau bincang dengan UMNO mengenai isu Palestin, Rohingya boleh lah.

"Tapi kalau pasal pilihan raya, kita lawan UMNO (BN)," katanya kepada pemberita selepas melancarkan jentera Pas Selangor sempena Himpunan Fastaqim 2.4 di Padang JKR, Seksyen 17, di sini hari ini.

Pada 15 Januari lalu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk A. Kadir Jasin menerusi laporan media tempatan mendakwa Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak mengadakan perbincangan sulit dengan Abdul Hadi untuk membenarkan Pas terus menguasai Kelantan pada pilihan raya umum akan datang.

Dakwanya, rundingan tersebut dibantah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed. - UTUSAN ONLINE.