Presiden Pas itu percaya kemarahan DAP terhadap Rang Undang-undang Mahkamah Sya­riah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355 dipengaruhi rasa takut jika dilaksanakan, masyarakat bukan Islam akan melihat kebaikan hukum Islam itu.

Menurutnya, DAP merupakan ‘anak butir tahi’ PAP iaitu merujuk Parti Tindakan Rakyat yang memerintah Singapura.

“Singapura ini bapa DAP. Yang memerintah Singapura PAP. Dulu Singapura dalam Malaysia, ada cawangan PAP di Malaysia. Bila Si­ngapura keluar daripada Malaysia, PAP tukar jadi DAP. Jadi, DAP ini anak butir tahi PAP. Ini sebut dengan bahasa yang kasar sikit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam ceramah perdana sempena kejayaan pembenta­ngan RUU 355 di Rusila, malam tadi sejurus selepas kepulangannya disambut ribuan penyokong di Lapangan Terbang Sultan Mahmud Kuala Terengganu.

Tegas Abdul hadi, di mana salahnya perundingan sesama parti Melayu Islam sedangkan kerajaan negeri pimpinan DAP di Pulau Pinang juga berunding de­ngan Amerika Syarikat.

“DAP boleh pula berunding dengan pihak-pihak di Amerika Syarikat untuk campur tangan mencaturkan negara ini. Politik Malaysia biarlah orang Malaysia yang buat perubahan. Tak perlu jemput Amerika Syarikat mari, tak perlu jemput negara asing mari.

“Ini kita berunding dengan UMNO tak boleh, dia berunding dengan Amerika Syarikat boleh. Nak jemput Amerika Syarikat campur tangan dalam negara kita, ini tak apa?” soalnya.

Menurut Abdul Hadi, tiada sebab orang bukan Islam takut dan menentang RUU 355 kerana mahkamah syariah tidak boleh menghukum orang bukan Islam.

Beliau percaya bukan semua masyarakat bukan Islam menentang rang undang-undang itu dan Pas akan mengambil peluang selama tiga bulan ini untuk memberi penjelasan kepada semua pihak yang berminat.

“Saya tulis satu artikel yang tak disiarkan lagi, RUU 355 ini laksana satu batu besar yang dihempas dalam lubuk yang tenang. Kita ingatlah lubuk itu tak ada buaya, semuanya ikan.

“Bila terhempas batu besar rupanya timbul habis buaya, ular, ikan toman, ikan keli, timbul belaka. ini hikmahnya. Jadi hikmahnya kita tahu siapa musuh Islam, siapa kawan orang Islam,” katanya.