Keris tersebut merupakan simbolik bagi menunjukkan parti itu akan mempertahankan orang Melayu termasuk melindungi institusi raja-raja Melayu daripada dihina oleh mana-mana pihak.

Penyerahan keris itu dilakukan oleh Pesuruhjaya Pas Selangor, Sallehen Mukhyi kepada Abdul Hadi serentak dengan pelancaran rasmi jentera pilihan raya Pas negeri ini untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Pada 2 November tahun lalu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan kemurkaan terhadap Pengerusi Pakatan Harapan, Tun. Dr. Mahathir Mohamad yang menghina etnik Bugis sebagai lanun hanya kerana mahu mengkritik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu program politik di Petaling Jaya sebelum ini.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Setiausaha Dewan Diraja Selangor, Hanafisah Jais ketika itu, baginda memandang serius kenyataan yang dikeluarkan oleh Mahathir yang boleh mencetuskan rasa benci serta prasangka buruk rakyat terhadap etnik Bugis.

Malah, ekoran tindakan Mahathir itu, Dewan Diraja Selangor menuntut supaya satu siasatan dan tindakan undang-undang dilakukan di bawah Akta Hasutan 1948 terhadap Mahathir. - UTUSAN ONLINE