ABDUL HADI AWANG

Perkara itu dijelaskan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam kenyataannya yang bertajuk ‘Pas bersama rakyat hadapi krisis keyakinan’ hari ini.

Bagaimanapun, Abdul Hadi tidak menyebut secara spesifik atau menuding jari kepada mana-mana pemimpin dalam pakatan berkenaan.

“Pas tidak boleh memberi harapan kepada Pakatan Harapan yang menjadi pendakwa atau yang mengaku menjadi peguam kepada mangsa kezaliman, kerana di dalamnya juga ada para pemimpin pe­nyangak yang dahulu dan terdahulu bersekongkol de­ngan punca masalah negara, dan tuduhan sama yang bertali arus laksana mata rantai atau biji tasbih yang dibilang setiap kali berwirid.

“Di sana pula ramai kalangan yang tidak boleh menjadi saksi yang adil mengikut perhitu­ngan Islam yang menjadi pegangan Pas,” katanya seperti dipetik di dalam laman portal rasmi parti itu, pas.org.my.

Melalui kenyataannya itu, Abdul Hadi menyifatkan pilihan raya umum (PRU) sebagai mahkamah rakyat de­ngan kerajaan menjadi pihak yang dituduh.

Katanya, berikutan itu Pas tidak boleh bersama dengan kerajaan yang dituduh, sehinggalah dibuktikan bersih atau bersalah.

“Kaedah kehakiman Islam yang dipakai Barat menetapkan pihak yang dituduh masih bebas dan tidak boleh dihukum bersalah selagi tidak dibuktikan kesalahannya oleh mahkamah, bukannya oleh media tanpa sempadan,” jelas beliau.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi menyifatkan ketegasan Pas bukannya bersifat fanatik melulu, tetapi berpijak di atas ajaran Islam yang nyata.

Katanya, Pas tidak boleh terikut-ikut dengan pihak lain atau sekadar dipergunakan oleh pihak yang berbeza dasar serta hala tujunya dengan parti itu.

“Pas boleh bekerjasama dan bersefahaman dengan semua pihak yang tidak mengacau dasar Islam dan hala tuju wawasannya yang berkekalan,” ujar beliau.