Beliau memberi bayangan sedemikian susulan daripada perkembangan terbaharu setelah Pas akhirnya membuat ketetapan memutuskan hubungan dengan PKR yang menerajui negeri itu.

"Biasalah, kemungkinan (boleh) berlaku," katanya sambil seloroh sejurus diminta reaksi mengenai wujud gerakan kalangan anggota PKR, bekas ahli parti itu, wakil rakyat Pas dan juga UMNO yang akan mengambil alih kuasa dalam kerajaan Selangor.

Bercakap dalam sidang akhbar di Pulau Kapas dekat sini hari ini, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, semua pemimpin Pas di Selangor akan patuh kepada arahan kepemimpinan Pas terutama berkaitan isu berkenaan.

Beliau menjelaskan, apa yang penting, semua pemimpin Pas di negeri tersebut perlu akur dengan keputusan serta arahan daripada Pas Pusat.

"Apa yang penting adalah semua pemimpin (Pas) Selangor akan patuh pada arahan Pusat (Pas), itu yang penting. Apa-apa pun tindakan, kita akan lihat perkembangan selanjutnya," ujarnya.

Ditanya kemungkinan pilihan raya di Selangor akan diadakan lebih awal, Abdul Hadi berkata, perkara itu terpulang kepada budi bicara Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selain berpandukan kepada perlembagaan negeri berkenaan.

"Itu terpulang kepada Selangor kerana negeri itu ada perlembagaannya sendiri yang perlu dirujuk, ujarnya. - UTUSAN ONLINE