Zainal Rahim Seman

Beliau berkata, kebenaran yang diberikan itu juga disertai dengan syarat-syarat tertentu kerana pihak kementerian tidak mahu mana-mana pegawai pendidikan yang meme­gang jawatan pentadbiran terlibat memegang jawatan politik, kerana ada perbezaan ketara antara dua tugas itu.

“Kita tidak mahu apa-apa kaedah di pentadbiran itu dijadikan bahan-bahan politik yang boleh mewujudkan ‘contradiction’ ataupun pencanggahan dari segi kepentingan antara tugas-tugas dalam hal politik,” katanya dalam satu persidangan media di penghujung Majlis Wacana Jelajah Transformasi Nasional 50 (TN50) Anjuran Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lama Petra Jaya, di sini hari ini.

Katanya, dalam apa-apa kaedah dan panduan yang telah ditetapkan, adalah menjadi satu kelaziman ia dilengkapi dengan peraturan yang mana sesiapa yang melanggar peraturan-peraturan ini boleh dikenakan tindakan sebagai langkah kawalan.

Sementara itu, Presiden CUEPACS Datuk Azih Muda yang turut serta dalam persidangan media itu berkata, berdasarkan liberalisasi kerajaan sebelum ini, penjawat awam memang dibenarkan berpolitik, asalkan tidak me­langgar tatatertib dan etika.

“Sebagai penjawat awam, semua memang sudah sedia maklum bahawa mereka terikat dengan Akta Rahsia Rasmi dan jika hendak berpolitik atau memimpin negara - tiada masalah, asalkan mendapat kelulusan,” katanya.

Terdahulu semasa menjawab satu soalan berkaitan gaji penjawat awam, Zainal Rahim berkata, sebarang rancangan kenaikan gaji perlulah dibuat seiring dengan kenaikan produktiviti pekerja, yang merupakan modal insan dalam menentukan keuntungan dalam sesebuah organisasi. – BERNAMA