Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, bayaran levi itu dilaksanakan sebelum ini bagi memberi peluang kepada syarikat pemaju untuk tukar status rumah yang tidak terjual selepas siap dalam tempoh lima hingga 10 tahun.

Menurutnya, hasil kutipan tabung tersebut akan digunakan untuk membina rumah khusus untuk bumiputera sahaja di kawasan strategik berhampiran bandar.

“Di pihak kerajaan negeri, kami juga mempertimbangkan seperti mana yang dibenarkan dalam dasar untuk mengenakan levi supaya kita dapat kutip dana apabila rumah ini dijual kepada bukan bumiputera.

“Hasil kutipan itu akan dimasukkan dalam Tabung Rumah Harapan dan dana ini digunakan untuk menyediakan rumah-rumah kuota bumiputera, ada pulangan yang kita guna balik untuk kita selesai masalah asal,” katanya selepas merasmikan penutup Ekspo Hartanah Malaysia di Aman Central, di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Tan Kok Yew dan Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Mohd. Zohdi Saad.

Sebelum ini, Pergerakan Pemuda UMNO Kedah mengesyorkan kerajaan negeri menaikkan levi 25 hingga 30 peratus daripada nilai pasaran kepada pemaju yang mahu menukar status lot bumiputera bagi mana-mana unit kediaman atau komersial yang tidak terjual.

Ketua Penerangan Pemuda UMNO negeri, Syed Mohd. Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, pihaknya tertarik dengan cadangan kerajaan negeri namun langkah tersebut perlu dilaksana secara berhati-hati supaya tidak merugikan golongan bumiputera.

Mukhriz mengulas lanjut berkata, pemaju perlu membuat permohonan untuk menukar status tersebut kepada kerajaan negeri sebelum dibawa untuk mendapat kelulusan di peringkat Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri (MMK).

“Kalau dah penuhi syarat ia akan masuk MMK, jadi MMK yang meluluskan, kita akan tengok satu persatu kalau penuhi syarat kita akan lepaskan (lulus). Bayangkan kalau rumah ini kosong ia jadi sarang dadah, timbul pula masalah sosial.

“Oleh itu, saya pikir lebih baik kita selamatkan rumah-rumah untuk dijual kemudian kita dapat bina rumah-rumah untuk kos rendah khas untuk bumiputera di tempat-tempat lebih sesuai,” jelasnya.