Rasa kurang senang itu diluahkan netizen menerusi ruangan komen pada status yang dimuat naik pengendali Facebook berkenaan bagi menjelaskan mengenai pengguguran kes rasuah tersebut.

Antara yang meluahkan rasa kurang senang ialah pemilik Facebook yang mengguna nama Steve Law yang menegaskan sebagai pembayar cukai, dia berharap perbicaraan kes rasuah itu diteruskan meskipun disifatkan kes yang lemah.

Katanya, sebagai Menteri Kewangan, Guan Eng sepatutnya bebas daripada sebarang keraguan dalam kalangan rakyat.

“Jika Jabatan Peguam Negara tidak mahu meneruskan kes rasuah Guan Eng, adakah boleh supaya Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan supaya kebenaran dapat dicari.

“Jangan bersembunyi, sila beranikan diri untuk memberitahu kami bagaimana anda mendapat perjanjian yang bagus itu. Sekarang, saya benar-benar hilang kepercayaan terhadap Guan Eng,” katanya yang menulis dalam bahasa Inggeris dan dipetik daripada laman Facebook DAP berkenaan.

Sementara itu, pemilik akaun Facebook Arun Thiru pula menulis, kes rasuah Guan Eng tersebut sepatutnya dibicarakan mengikut lunas undang-undang sedia ada.

Katanya, jika bukti yang dikemukakan tidak kukuh, Guan Eng boleh dibebaskan sekali gus `kegilaan’ seperti ketika ini tidak berlaku. – UTUSAN ONLINE