Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang, Noor Azleen Ambrose berkata, tindakan itu menjadikan jati diri serta identiti beliau sebagai rakyat yang bertanggungjawab boleh dipersoalkan berdasarkan beberpa asas.

“Pertama, amalan itu jelas bertentangan dengan perkara-perkara berkaitan kedudukan dan martabat Bahasa Melayu, seperti yang sedia termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan (Perkara 152 (1).

“Ia juga jelas menzahirkan niat dan matlamat kerajaan Pakatan Harapan hari ini tidak berhasrat mengangkat prinsip-prinsip serta menterjemah semangat murni yang termaktub dalam perlembagaan.

“Ini juga bolehlah ditafsirkan sebagai cubaan menghina kedaulatan Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini sebentar tadi.

Beliau berkata, bahasa adalah simbol dan lambang perpaduan rakyat yang berbilang kaum, sekali gus amalan penggunaan bahasa Mandarin oleh kerajaan pusat bagi tujuan urusan rasmi dikhuatiri menjadi punca perpecahan perpaduan dalam kalangan rakyat.

Sehubungan itu, setiap rakyat yang mempunyai jati diri dan identiti yang jitu, tulen dan sebenar, pastinya dapat membuat penilaian dalam perkara itu.

“Menilai dengan hati yang ikhlas dan terbuka, terhadap jati diri, amalan dan nilai-nilai Lim Guan Eng dan pimpinan kerajaan Pakatan Harapan dalam mempertahankan kedaulatan Perlembagaan Persekutuan daripada tindakan terbaharu beliau ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE