A. THIRUMALVALAVAN
A. THIRUMALVALAVAN

Pengerusi DAP Cawangan Taman Murni, A. Thirumalvalavan berkata, perkara itu akan menjadi isu besar sekiranya individu lain berada di tempat Guan Eng sekarang dan pastinya Penasihat DAP, Lim Kit Siang akan meminta individu itu meletakkan jawatan.

Beliau berkata, Guan Eng juga didakwa melanggar perlembagaan parti apabila mahu mengadakan pemilihan semula CEC pada 12 November ini menerusi Kongres Khas dan bukannya melalui Kongres Kebangsaan yang memerlukan tempoh notis 10 minggu.

“Pemilihan semula CEC hanya boleh diadakan dalam Kongres Kebangsaan DAP termasuk tempoh selama 10 minggu diberikan kepada perwakilan serta calon untuk berkempen sempena pemilihan, sekarang bukan sahaja notis, senarai perwakilan juga tiada.

“Pemilihan semula CEC pada 12 November ini jelas bukan sahaja melanggar perlembagaan parti tetapi bertentangan dengan hasrat ahli serta perwakilan DAP di peringkat akar umbi untuk menyaksikan perubahan berlaku terutamanya di barisan hadapan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu pada 9 Oktober lalu, Guan Eng mengumumkan pemilihan semula CEC DAP akan diadakan di Pusat Konvensyen Ideal Shah Alam (IDCC) pada 12 November ini.

Menurut Thirumalvalavan, berdasarkan peruntukan Fasal VIII, Perkara Lapan Perlembagaan DAP, Kongres Khas hanya boleh diadakan bagi membincangkan perkara tertentu, bukannya berfungsi untuk mengadakan pemilihan jawatan kuasa berkenaan.

Mengulas lanjut, Thirumalvalavan berkata, sekiranya Guan Eng terus berdegil untuk bertanding, pihaknya tidak menolak kemungkinan untuk membuat laporan polis terhadap Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan jawatan itu.

Selain itu, katanya, dia percaya kira-kira 200 perwakilan daripada pelbagai cawangan akan memboikot pemilihan CEC berkenaan sekiranya Guan Eng masih kekal dengan hasratnya untuk bertanding merebut jawatan yang disandangnya.

LIM GUAN ENG
LIM GUAN ENG

“Bagi mengekalkan demokrasi dalam parti, Guan Eng perlu melepaskan segala jawatan yang disandang dan jangan bertanding dalam pemilihan CEC nanti, ini adalah kehendak ahli akar umbi untuk melihat DAP terus mendapat kepercayaan.

“Kita tidak mahu DAP menjadi parti keluarga kerana ia milik semua ahli, Guan Eng dan Kit Siang janganlah ‘karamkan’ DAP dengan tidak mendengar hasrat semua ahli. Kita hanya mahukan perubahan ke arah lebih baik bukannya ke arah yang menghancurkan parti,” katanya.